Tuesday, January 10, 2012

Coretan

Coretan :
                Setiap coretan ada perjalanan,setiap kisah ada karangan. Membuka seribu satu cerita yang tertera dipintu kaca hati , mencerminkan suka dan duka tersendiri.Membuaikan ingatan yang tidak pernah lekang difikiran. Begitu indah pandangan mata sampaikan mutiara kaca membasahi pipi. Kadang-kadang bertanya di dalam hati, adakah perumpamaan Bunga Lavenda akan terus kembang mekar apabila angin yang menghembus, membawa darjah kepanasan meniupi dari timur ke barat.Perumpamaan yang sentiasa bermain diminda tentang kehidupan.Meniup bagaikan deruan sang bayu membawa ombak memukul pantai.Bila pandangan memandang ke angkasa,melihat  kedipan bintang-bintang yang menerangi memukau mata yang memerhatinya. Indah,sungguh indah.Nafas dihembus mata dipejam mencari satu ketenangan. Sangat Bersyukur dengan kurniaan Illahi.Tiap langkah diperhatikan dan tiap bayangan terbawa-bawa mencari kunci hati yang tidak ketahui dimana.Agar dapat membuka pintu mahligai yang menyimpan pelbagai kisah kehidupan.
…..sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah,nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya..(Ibrahim:34)
                Adakah kita mampu buat bayangan lalu terkubur begitu saja ataupun  bayangan itu terus hadir tiap saat dalam kehidupan kita sekarang.Kesedihan,kedukaan dan kegagalan yang lalu didalamnya merupakan tindakan yang bodoh dan gila. Ia bagaikan membunuh harapan dan menghalangi orang untuk menjalani kehidupan seadanya. Sesetengah pendapat akan beranggapan bahawa bayangan lalu banyak mengajar erti kehidupan meniti tiap langkah yang longlai melalui denai-denai yang penuh dengan bara kehidupan. Tercungap-cungap mencari sinar kehidupan agar dapat kembali ke puncak gunung semangat. Allah s.w.t akan menguji setiap hamba-Nya agar menerima setiap dugaan yang hadir dengan mencerminkan kesabaran dan ketabahan. Dengan kembalinya bayangan lalu, bererti kita akan merasakan kembali keresahan dan kesesalan. Bayangan lalu tidak ubah seperti api yang membara membakar dinding-dinding ketabahan dan melemparkan diri ke bayangan lalu. Hal tersebut merupakan keadaan yang sangat menyedihkan sekaligus menakutkan.
                Adakah kita mampu tersenyum dengan bayangan lalu dan mampukah kita gembira mengembalikan kisah duka yang lalu.Kalau bayangan lalu mempunyai kemanisan adakah kita boleh patah kembali. Memutarkan kembali roda kehidupan yang terselindung disebaliknya keperitan dan kedukaan kehidupan. Inginkah kehadiran mutiara kaca membasahi pipi terus hadir kembali. Biarlah semua itu berlalu pergi dan lafazkanlah segala yang ada dihati agar diri tidak terus terkubur selama-lamanya. Kerana itu segala keresahan tidak akan hadir kembali bagaikan mendepakan tangan di puncak bukit menyaksikan pandangan ciptaan Allah s.w.t . Tiada keresahan tersembunyi bila kita bebaskan ungkapan yang tersirat bagaikan burung yang bebas terbang diangkasa.